BERITA UTAMA

Lahir karya hebat seiring Revolusi Industri 4.0

16 Dis 2019, 5:16 PM
Lahir karya hebat seiring Revolusi Industri 4.0

SHAH ALAM, 16 DIS: Misi Selangor menjadi negeri pintar menjelang 2025 di rantau ASEAN turut diukur menerusi penghasilan karya sastera yang hebat dari negeri itu.

Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari berkata, beliau tidak mahu konsep itu (negeri pintar) hanya dilihat daripada sudut kemantapan, kemampanan ekonomi serta teknologi Revolusi Industri 4.0 semata-mata.

"Namun apabila lahirnya karya hebat dari Malaysia, kita sendiri tidak segan dengan negara jiran seperti Indonesia, Manila dan Bangkok.

"Unsur kreatif sebegini membolehkan kelompok anak muda lebih berani membuka ruang yang luas melepasi media sosial seperti Facebook dan Twitter sehingga membolehkan mereka menjadi lebih matang.

"Oleh itu pada masa hadapan, selain ekonomi, kebudayaan menjadi penanda aras yang dibanggakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hadiah Sastera Selangor 2019 bertempat di Black Box SACC Mall, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Communication Corporation Sdn Bhd (CCSB), Mohamed Fareed Mohamed Ashaaree yang juga penganjur utama program terbabit.

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Sasterawan Negara Datuk A.Samad Said, Datuk Dr Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Kamal Abdullah (Kemala), Datuk Dr Zurinah Hassan, Prof Dr Siti Zainon Ismail dan Datuk Baha Zain.

Amirudin berkata, unsur kreatif sentiasa menjadi penyumbang kepada perubahan pergerakan dunia kerana ia membolehkan rakyat memahami serta menghayati perubahan yang berlaku di sekeliling.

"Saya juga percaya, karya kreatif mampu menyampaikan idea, pandangan serta gagasan maklumat lebih enak dan santai untuk dihadam oleh rakyat berbanding penggunaan ucapan retorik," katanya.