AGENDA

Malaysia-Indonesia teliti program tukar banduan

10 Dis 2019, 12:43 PM
Malaysia-Indonesia teliti program tukar banduan

JAKARTA, 10 DIS: Malaysia dan Indonesia sedang meneliti pelaksanaan pertukaran banduan bagi kedua-dua negara, kata Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata perkara itu dibangkitkan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam pertemuan baru-baru ini bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Pertukaran (penghantaran) banduan Malaysia dan Indonesia ini dibangkitkan Presiden Jokowi menerusi program pengurusan kepenjaraan kedua-dua negara," katanya kepada pemberita di sini, hari ini dalam rangka lawatan kerjanya ke Indonesia sejak semalam.

Pertukaran banduan itu bermaksud penghantaran pulang banduan kedua-dua negara untuk ditempatkan di penjara di negara masing-masing.

Muhyiddin berkata dalam pertemuannya bersama Menteri Hukum (Undang-undang) dan Hak Asasi Manusia Indonesia, Yasonna Laoly, Indonesia bersedia melaksanakan program itu namun perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan perundangan.

"(Indonesia) belum ada undang-undang atau punca kuasa untuk melaksanakan program itu dan pegawai- pegawai kementerian berkaitan akan memperhalusi cadangan pelaksanaannya nanti," kata Muhyiddin.

Ketika ini terdapat 300 rakyat Malaysia di penjara Indonesia, manakala lebih 5,000 rakyat Indonesia ditempatkan di penjara di Malaysia.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.