AGENDA

Rina: 19.5 peratus migrasi bandar ke luar bandar pada 2018

2 Dis 2019, 4:55 AM
Rina: 19.5 peratus migrasi bandar ke luar bandar pada 2018

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Penghijrahan penduduk bandar ke luar bandar mencatat kadar 19.5 peratus daripada kadar migrasi pada tahun lalu, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar pula mencatat kadar 4.8 peratus.

Berdasarkan laporan survey migrasi tahun 2018 yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan, Rina berkata antara faktor penyumbang kepada penghijrahan itu ialah faktor keluarga, kerjaya dan persekitaran.

“Antara strategi dan program yang dilaksanakan oleh kementerian bagi menangani penghijrahan ialah dengan melengkapkan luar bandar dengan jalan perhubungan, elektrik dan mempunyai capaian internet yang baik.

“Pelaksanaan ekonomi seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK), program peningkatan pendapatan, latihan kemahiran dan kerjaya, program pemasaran produk selain program keusahawanan dan kemudahan pembiayaan perniagaan,” katanya pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Noor Amin Ahmad (PAKATAN-Kangar) yang bertanyakan langkah-langkah yang diambil kementerian bagi menangani isu penghijrahan penduduk dari luar bandar ke bandar.

Sementara itu, Rina berkata kementerian berkenaan sedang giat mempromosi program Desamall@KPLB yang bertujuan membantu usahawan luar bandar bagi memasarkan produk mereka melalui platform e-dagang.

“Melalui platform ini pemasaran produk usahawan luar bandar tidak hanya terhad kepada pasaran domestik malah ianya juga boleh dicapai oleh pelanggan luar negara.

“Bagi menyokong Desamall@KPLB ini, pihak kementerian sedang dalam usaha menjalinkan kerjasama dengan beberapa agensi kerajaan untuk meningkatkan akses dan kemudahan prasarana internet di kawasan luar bandar,” katanya.

Beliau berkata pihaknya juga sedang meneliti program-progam baharu untuk dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), sekali gus dapat meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.