AGENDA

KKM sita 2,135 produk makanan bernilai lebih RM60,000

26 Nov 2019, 1:24 AM
KKM sita 2,135 produk makanan bernilai lebih RM60,000

KUALA LUMPUR, 26 NOV: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyita 2,135 produk makanan bernilai RM60,494.53 yang mempunyai akuan boleh merawat penyakit pada label dan pengiklanan produk, dalam operasi khas dua hari di seluruh negara bulan lepas.

Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, selain itu 47 notis dengan nilai keseluruhan RM113,500 dikeluarkan kepada pemilik premis makanan, yang gagal mematuhi Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya.

Katanya, mengikut Peraturan 18(6), Peraturan-Peraturan Makanan 1985 menyatakan bahawa label makanan tidak boleh mengandungi akuan kesihatan seperti mencegah, mengurang, merawat dan menyembuhkan sesuatu penyakit dan kegagalan mematuhinya, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebih RM100,000 dan penjara tidak lebih dua tahun.

"KKM memandang serius penjualan produk makanan yang membuat akuan kesihatan pada label dan pengiklanan produk makanan sama ada di media elektronik, media cetak, media sosial, risalah dan lain-lain.

"Penyataan seperti boleh merawat penyakit, jus kesihatan terbaik, boleh menyembuhkan sakit buah pinggang, kencing manis, menghilangkan nyanyuk dan sebagainya adalah dilarang pada iklan atau label makanan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, malam tadi.

Dr Noor Hisham turut menyeru kepada orang ramai yang mempunyai sebarang kemusykilan isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah/Kawasan/Bahagian atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.