AGENDA

MB mahu rakyat tolak politik sempit kaum

25 Nov 2019, 12:22 AM
MB mahu rakyat tolak politik sempit kaum

BATU CAVES, 25 NOV: Rakyat Selangor digesa supaya menolak budaya politik sempit yang sengaja dimainkan pihak tidak bertanggungjawab, mutakhir ini.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata tindakan itu sengaja dimainkan pembangkang tidak kira di peringkat negeri mahupun persekutuan bagi menjatuhkan kredibiliti Pakatan Harapan (PAKATAN).

"Ketika jumpa orang Cina, mereka menakut-nakutkan mereka dengan mengatakan kononnya Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad ini rasis dan anti-Cina.

"Kemudian bila jumpa orang Melayu, mereka berulang kali menyebut masyarakat Melayu terpaksa berdepan cabaran kebangkitan kaum lain di negara ini.

"Inilah kata-kata lidah bercabang yang saya mahu rakyat Selangor tidak mudah termakan," katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali Peringkat Dewan Undangan Negeri Sungai Tua di Dewan Siantan, di sini malam tadi.

Amirudin dalam ucapannya turut menjelaskan Kerajaan PAKATAN di peringkat persekutuan sedang berusaha membetulkan kesilapan besar yang dilakukan kerajaan terdahulu.

Beliau juga percaya rakyat akan terus memberi sokongan supaya kelemahan di negara ini terus diperbaiki.

"Saya yakin ia akan membuahkan hasil, lihat sahaja Selangor yang ditadbir Kerajaan PAKATAN selama tiga penggal. Kita bertambah baik dan semakin makmur sehingga diiktiraf negeri terbaik di Malaysia," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.