ad
AGENDA

Jadual baharu perkhidmatan komuter

7 Nov 2019, 7:10 AM
Jadual baharu perkhidmatan komuter

KUALA LUMPUR, 7 NOV: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) hari ini mengumumkan jadual baharu bagi semua perkhidmatan KTM Komuter berkuat kuasa 16 November ini berikutan kerja-kerja penaiktarafan Landasan Berkembar Klang (KVDT) fasa 1 dan 2

KTMB dalam kenyataan, memaklumkan penjadualan tersebut akan melibatkan 20 perkhidmatan komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang serta 14 perkhidmatan komuter laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim.

"Kedua-dua fasa itu adalah bagi menaik taraf landasan yang berusia lebih 25 tahun, di samping menyelenggara dan menambah baik sistem elektrik, komunikasi, dan stesen-stesen terbabit.

"Kerja-kerja pemulihan landasan yang menghubungkan sektor Lembah Klang itu dilakukan untuk mengurangkan kelewatan dan mengelak pembatalan perkhidmatan akibat kerosakan landasan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan kedua-dua fasa tersebut bertujuan meningkatkan mutu serta keselamatan perkhidmatan kereta api termasuk perkhidmatan KTM Komuter, perkhidmatan tren elektrik (ETS), Skypark Link dan KTM Kargo.

Projek KVDT1 melibatkan sektor Rawang-Salak Selatan dan Simpang Batu-Sentul yang dijangka siap sepenuhnya Julai depan.

Sementara, projek KDVT2 melibatkan sektor Kuala Lumpur Sentral-Pelabuhan Klang serta Salak Selatan-Seremban dijangka siap pada September 2026.

Dalam pada itu, berikutan penjadualan baharu berkenaan, penumpang yang menggunakan tren komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang selepas ini akan bermula dan tamat di Stesen Kajang.

Bagi laluan Tanjung Malim-Pelabuhan Klang-Tanjung Malim, perkhidmatan komuter akan beroperasi menggunakan satu landasan antara Rawang dan Kepong yang akan bermula serta tamat di Stesen Sungai Buloh.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.