BERITA UTAMA

Dua hari keluar jel, kena tahan meragut

26 Ogos 2019, 12:10 AM
Dua hari keluar jel, kena tahan meragut

IPOH, 26 OGOS: Baru dua hari dibebaskan dari Penjara Tapah, seorang bekas

banduan ditahan semula, kerana dipercayai melakukan jenayah ragut di Jalan

Horley, Pekan Baru Ipoh, di sini tengah hari tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Mohamad Nordin Abdullah

berkata, suspek berusia 31 tahun itu, yang baru selesai menjalani hukuman

penjara lapan bulan atas kesalahan berkaitan dadah, ditahan di Jelapang pada

pukul 8 malam.

"Dalam kejadian pukul 12.53 tengah hari tadi, suspek yang dipercayai menaiki

sebuah motosikal bersama seorang lelaki, menghampiri seorang wanita lalu

menarik beg tangannya sehingga mangsa terjatuh dan luka pada siku kiri,"

katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang membuat laporan polis pada pukul 1.30 tengah hari

tadi memberitahu, bag tangan mangsa mengandungi wang tunai RM300, dokumen

pengenalan diri dan kad bank.

Mohamad Nordin berkata, hasil kerjasama orang awam dan kecekapan pihak polis,

bekas banduan itu berjaya ditahan kurang daripada lapan jam dan polis sedang

giat mengesan seorang lagi suspek, serta kes disiasat di bawah Seksyen 395

Kanun Keseksaan kerana rompakan berkumpulan.

Insiden ragut itu disaksikan dua wartawan yang secara kebetulan melalui

kawasan berkenaan menaiki kereta, dan sempat merakamkan gambar kejadian yang

jelas menunjukkan jenis dan nombor pendaftaran motosikal dinaiki suspek.

Mohamad Nordin mengucapkan terima kasih kepada wartawan terbabit yang

kemudiannya menghubungi pihak polis, bagi menyalurkan maklumat dalam usaha

membanteras jenayah.

- BERNAMA