BERITA UTAMA

Jepun serius bantu pembangunan Malaysia

8 Ogos 2019, 10:42 AM
Jepun serius bantu pembangunan Malaysia

FUKUOKA (Jepun), 8 OGOS: Jepun serius untuk membantu pembangunan Malaysia termasuk menghantar penasihat khas perdana menterinya serta pakar pelbagai bidang bagi berbincang dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, kerajaan Jepun melihat lawatan kerja beliau ke Fukuoka adalah peluang untuk berbincang berhubung peranan negara matahari terbit itu dalam menolong pembangunan Malaysia.

"Semuanya dibincang dan nampak kerajaan Jepun bincang dengan serius apa yang boleh mereka buat untuk menolong kita dan mereka kemukakan serta minta pendapat kita,” katanya kepada wartawan Malaysia ketika mengakhiri lawatan kerja dua harinya di Fukuoka, hari ini.

Perdana menteri mengadakan pertemuan dengan Penasihat Khas kepada Perdana Menteri Jepun, Hiroto Izumi, yang bertanggungjawab berkaitan hal ehwal Malaysia, yang turut disertai sembilan pakar pelbagai bidang termasuk kewangan, hutang, pengangkutan dan pendidikan.

Dalam pertemuan itu, katanya, mereka memberi pandangan berhubung dasar pengangkutan darat, rel dan air supaya Malaysia dapat menyusun serta mendapat manfaat maksimum daripada sistem pengangkutan yang diamalkan.

Dr Mahathir berkata, beliau akan membangkitkan perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu di Kabinet untuk menteri mengambil tindakan sewajaranya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.