ad
BERITA UTAMA

Agong terima kejutan Hari Keputeraan di Istana Negara

31 Jul 2019, 11:44 PM
Agong terima kejutan Hari Keputeraan di Istana Negara

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Nyanyian lagu ‘Allah Selamatkan Tuanku’ berkumandang di Istana Negara malam tadi sebagai kejutan bagi meraikan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang ke-60.

Kejutan itu berlangsung ketika Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersedia untuk berangkat pulang bersama Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha selepas selesai menghadiri Majlis Santapan Diraja malam ini.

“Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku,

Allah Selamatkan Duli Tuanku,

Allah Selamatkan Tuanku.

Bait lagu berkenaan dinyanyikan penyanyi terkenal Dayang Nurfaizah dan anak-anak Permata Seni Koir yang turut disertai tetamu yang hadir.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan kek berbentuk singgahsana dan berkenan memotong kek itu di hadapan lebih 700 tetamu yang hadir pada majlis berkenaan.

Lebih manis, Tunku Azizah berkenan menyuapkan Seri Paduka potongan kek dan kemudian memberikan salam hormat serta pelukan.

Seri Paduka berdua kemudian turut berkenan bersalaman dan bergambar dengan tetamu yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.