ad
AGENDA

483 laporan polis berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad SAW

26 Jul 2019, 11:52 PM
483 laporan polis berhubung kenyataan hina Nabi Muhammad SAW

KUALA LUMPUR, 27 JUL: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 483 laporan polis setakat ini berhubung kenyataan berbentuk penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW oleh pemilik akaun Wendy Loong di laman sosial Facebook.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Datuk Asmawati Ahmad berkata, kenyataan berbentuk penghinaan dibuat pemilik akaun itu di laman Facebook Kiub Batu Itu Berhala, yang dianggotai kumpulan tertutup.

"Pihak polis mendapati posting (hantaran) yang dibuat oleh Wendy Loong telah dipadam dan polis telah memohon kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengenal pasti serta menjejaki pemilik akaun Wendy Loong untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang komen yang menyentuh sensitiviti agama atau kaum, di mana-mana jua platform atau rangkaian komunikasi.

"Suka diingatkan, sebagai warga Malaysia, setiap daripada kita mempunyai peranan dan tanggungjawab untuk terus mengekalkan keamanan dan kesejahteraan negara ini," katanya. - BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.