WANITA & KEBAJIKAN

Program bakat keselamatan siber untuk galak wanita kembali bekerja

20 Jun 2019, 8:28 AM
Program bakat keselamatan siber untuk galak wanita kembali bekerja

 

PUTRAJAYA, 20 Jun : Golongan hawa yang berminat untuk kembali bekerja dengan membangunkan bakat keselamatan siber boleh berbuat demikian di bawah program Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber.

Program yang ditawarkan menerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dengan usaha sama strategik antara Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Kementerian Sumber Manusia itu merupakan inisiatif untuk golongan wanita kembali bekerja.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata program itu juga bertujuan menangani jurang bakat yang dihadapi industri keselamatan siber, yang mana sasaran untuk melahirkan 10,000 bakat menjelang 2020 daripada 7,000 sekarang.

Beliau berkata program itu memberi kelonggaran masa bekerja serta kemudahan penjagaan kanak-kanak supaya wanita dapat menyesuaikan diri dalam pasaran buruh yang mencabar.

"Terdapat pelbagai bentuk sokongan disediakan kepada para peserta seperti bimbingan mentor, latihan, elaun bulanan dan banyak lagi manfaat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program perintis Memperkasa Wanita dalam Pengurusan Risiko Siber, di sini hari ini.

Yeoh berkata adalah penting untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja kerana laporan menyatakan 93 peratus wanita yang telah berhenti kerja berhasrat kembali, namun hampir 63 peratus menghadapi kesukaran berbuat demikian.

Menurutnya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berpotensi meningkat kepada RM9 bilion daripada RM6 bilion jika lebih ramai wanita mengisi tenaga kerja.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata program itu terbuka kepada wanita yang telah berhenti bekerja lebih daripada enam bulan dan mempunyai sekurang-kurangnya tiga tahun pengalaman dalam sektor korporat.

“Diharapkan peserta akan dapat memulakan kerjaya masing-masing dalam bidang ini pada Januari tahun depan,” katanya. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.