ad
SUKANKINI

Mula latihan 3.30 pagi setiap hari demi SUKMA 2020

12 Jun 2019, 2:11 AM
Mula latihan 3.30 pagi setiap hari demi SUKMA 2020

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 12 JUN: Demi negeri tercinta, pemain skuad ragbi wanita Selangor bagi Sukan Malaysia (SUKMA) 2020 cekal menjalani latihan seawal jam 3.30 pagi sepanjang Ramadan lalu.

Teja Qaisara Rosihan Adi, 20, berkata selain latihan awal pagi, beliau dan rakan sepasukan juga menjalani latihan di gimnasium bermula 9 malam.

"Kami perlu meneruskan latihan walaupun berhadapan cabaran berpuasa untuk mengekalkan tahap kecergasan.

"Kami juga perlu tidur seawal 11 malam untuk mendapat rehat secukupnya bagi menjalani latihan keesokan hari pula," kata pemain posisi 'scrumhalf' itu kepada SelangorKini.

Menyentuh sambutan Aidilfitri, atlet itu memaklumkan diberi cuti sehingga Syawal kelima untuk meraikan lebaran bersama keluarga di Shah Alam dan Kajang.

Bagaimanapun beliau tetap mengekalkan disiplin sebagai atlet dengan menjaga pemakanan dan membuat senaman ringan di rumah.

"Saya terpaksa menjaga pemakanan kerana tidak mahu kecergasan menurun," katanya.

Teja berkata, beliau perlu sentiasa cergas ekoran pihak pengurusan sudah menyusun jadual membabitkan beberapa pertandingan pemanas badan, termasuk di Singapura.

Pada masa sama, beliau turut meluahkan hasrat untuk menjadi pemain 'scrumhalf' negara suatu hari nanti.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.