NASIONAL

Tindakan kompaun untuk kesedaran rakyat - MB Terengganu

29 Mei 2019, 1:29 AM
Tindakan kompaun untuk kesedaran rakyat - MB Terengganu

 

KUALA TERENGGANU, 29 Mei: Tindakan kompaun RM50 kepada individu yang dikenal pasti membuang sampah merata-rata di tempat awam, bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat untuk bersama-sama menjaga kebersihan sekitar pusat bandar raya.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun tindakan tersebut dilihat agak keras, namun ia dilakukan bagi memastikan persekitaran Kuala Terengganu sentiasa bersih, terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti.

“Tentunya kita hendak meraikan Hari Raya Puasa dengan persekitaran yang bersih, perantau pulang dalam keadaan yang ceria dan mendatangkan imej yang baik kepada negeri.

“Kita harap rakyat faham bahawa semua ini dibuat bukan untuk suka-suka, tetapi demi kepentingan semua pihak termasuklah pegunjung dan rakyat tempatan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau jambatan angkat di sini semalam.

Dilaporkan, tindakan kompaun oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) tersebut berkuat kuasa serta merta semalam.

Datuk Bandar Kuala Terengganu Shahidan Embok dilaporkan berkata, tindakan kompaun RM50 tersebut bertujuan memastikan kebersihan bandar raya ini terutama kawasan sekitar jambatan angkat. -BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.