ad
NASIONAL

Rakyat berhak dapat penjelasan tentang 'kartel dedak' - Anwar

15 Mei 2019, 7:30 AM
Rakyat berhak dapat penjelasan tentang 'kartel dedak' - Anwar
Rakyat berhak dapat penjelasan tentang 'kartel dedak' - Anwar
Rakyat berhak dapat penjelasan tentang 'kartel dedak' - Anwar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANGI, 15 MEI: Pimpinan PAS perlu menjawab dan memberi penjelasan berhubung dakwaan kewujudan ‘kartel dedak’ dalam parti berkenaan, kata Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci memandangkan ‘kartel dedak’ menjadi isu yang membabitkan kepentingan orang awam.

Katanya, terdapat keperluan pimpinan parti terbabit menjawab isu itu tanpa berselindung menerusi arahan melarang ahli parti PAS membahaskannya secara terbuka.

“Isu ‘kartel dedak’ ini sebenarnya urusan dalaman parti dan sudah tentu menjadi hak pimpinan PAS bagi menentukan arahan melarang ahlinya untuk tidak membahaskannya.

“Tetapi, isu ini membabitkan kepentingan awam dan oleh sebab itu masyarakat ingin tahu kerana membabitkan dana yang bertentangan dengan apa yang diucapkan pimpinan PAS iaitu seorang tokoh tidak patut ambil duit daripada sumber dicurigai selain hidup dalam kesederhanaan.

“Ada keperluan supaya tuduhan keras yang dilemparkan itu perlu dijawab pihak berkenaan bagi memastikan orang ramai tahu apa yang berlaku sebenarnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Konvensyen Belia Kebangsaan, di Panggung Seni Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Terdahulu, Anwar diminta mengulas tindakan PAS mewartakan perintah larangan terhadap ahlinya supaya tidak membawa, membincang dan membahaskan sebarang isu membabitkan urusan parti dalam semua bentuk media, berkuat kuasa serta-merta.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan mendakwa perintah itu mengingatkan ahlinya bahawa sebarang pandangan, pendapat, cadangan atau kritikan perlu disuarakan melalui saluran parti di pelbagai peringkat.

Perintah itu juga susulan pendedahan bekas ahli Majlis Syura Ulama PAS, Zaharudin Muhammad, berhubung lima pemimpin dalam PAS yang terbabit dengan ‘kartel dedak’ dan wang jutaan ringgit daripada UMNO.

Zaharuddin turut mendakwa mendedahkan isu kartel dedak selepas mendapat restu Abdul Hadi, namun Presiden PAS itu menafikan mengizinkan menantunya berbuat demikian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.