ad
NASIONAL

APMM aktifkan SAR cari pemancing hilang di laut

4 Mac 2019, 2:29 AM
APMM aktifkan SAR cari pemancing hilang di laut

LAHAD DATU, 4 MAC: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semalam mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas bot pam dinaiki bersama rakannya dipukul ombak pada Sabtu lalu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, mangsa hilang Herman Gasim, 31, bersama rakannya Mazlan Mohamad keluar memancing sebelum bot dinaiki karam, lebih kurang dua batu nautika dari pantai Kampung Bangigod, Tungku dekat sini pada jam 12.50 tengah hari.

"Namun rakan mangsa, berjaya berenang ke daratan berhampiran dan membuat laporan kejadian," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Bertindak daripada laporan terbabit, Abdul Muhaimin berkata, SAR diaktifkan pada jam 6 pagi semalam.

"Operasi itu membabitkan empat aset laut daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam," katanya.

Bagaimanapun, katanya, sehingga jam 6 petang semalam, mangsa belum ditemui dan operasi SAR diteruskan hari ini merangkumi kawasan seluas 86 batu nautika persegi.

SUMBER: BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.