ad
NASIONAL

Dokumen hasil siasatan projek AES diserah kepada SPRM

1 Mac 2019, 5:44 AM
Dokumen hasil siasatan projek AES diserah kepada SPRM
Dokumen hasil siasatan projek AES diserah kepada SPRM

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 MAC: Pejabat Menteri Pertahanan hari ini menyerahkan hasil siasatan Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK) kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan projek AES ketika pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pertahanan, Rafizal Ali berkata, laporan kepada SPRM dibuat supaya satu siasatan lanjut dilakukan bagi mengenal pasti punca disebalik arahan atau cadangan pengambil alihan AES dengan harga RM555 juta dilakukan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).

Katanya, JKSTUPKK yang dipengerusikan Tan Sri Ambrin Buang mendapati jumlah itu melebihi harga pasaran sekali gus mendedahkan wang pencarum anggota tentera kepada risiko kerugian.

"Dalam hasil siasatan dibentangkan kepada pihak kementerian 28 Januari lalu, JKSTUPKK mendapati pelaksanaan projek AES lebih menguntungkan syarikat konsesi dan meletakkan kerajaan dalam risiko kerugian.

"JKSTUPKK juga mendapati wujud campur tangan anggota pentadbiran kerajaan termasuk Mantan Perdana Menteri dan beberapa Menteri Kabinet kerajaan terdahulu yang lebih menjurus kepada kepentingan politik," katanya.

Beliau berkata, siasatan juga mendapati wujud keraguan terhadap cadangan LTAT mengambil alih projek AES yang hanya dibuat dalam perbincangan tanpa diminitkan antara Mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan beberapa menteri, pada September 2014.

"JKSTUPKK berpendapat pemilihan syarikat LTAT untuk mengambil alih AES adalah lebih kepada cubaan menutup tuduhan bahawa kerajaan cuba melaksanakan bail-out.

"Selain itu, wujud keraguan mengapa LTAT perlu membayar dengan jumlah RM555 juta bagi mengambil alih AES sedangkan kos asal adalah RM40 juta," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.