SELANGOR

Sidang meja bulat MAIS bincang isu pengislaman kanak-kanak

21 Feb 2019, 5:01 AM
Sidang meja bulat MAIS bincang isu pengislaman kanak-kanak
Sidang meja bulat MAIS bincang isu pengislaman kanak-kanak

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 21 FEB: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengadakan perbincangan meja bulat berhubung Pengislaman Kanak-Kanak dan Penentuan Umur Baligh Kanak-Kanak, di Hotel De Palma di sini, semalam.

MAIS dalam kenyataan berkata, perbincangan itu bertujuan mendapatkan pandangan pakar berkaitan status agama kanak-kanak mengikut hukum syarak, pengislaman kanak-kanak menurut undang-undang dan penentuan umur baligh kanak-kanak dari perspektif Islam serta perubatan.

"Resolusi perbincangan ini akan dijadikan sebagai asas kepada pindaan peruntukan undang-undang berhubung dengan pengislaman kanak-kanak di Selangor," katanya.

Terdahulu, perbincangan itu dipengerusikan Orang Besar Daerah Petaling merangkap Timbalan Pengerusi MAIS, Dato’ Emran Kadir.

Hadir sama, Timbalan Mufti Selangor, Dato' Dr Anhar Opir; Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid; Ketua Hakim Syarie Selangor, Mohammad Adib Husain dan Ketua Pendakwa Syarie, Abu Bakar Mohd Daud serta barisan Ahli Jawatankuasa Undang-Undang Negeri Selangor.

Pembentang bagi perbincangan itu dibarisi Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif International Istitute of Advanced of Islamic Studies, Prof Dr Mohamed Azam Mohamed Adil; Pengarah Pembangunan Sosial MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar dan Pensyarah Kanan Pediatric Endocrinologist UiTM, Dr Noor Shafina Mohd Noor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.