EKONOMI

MPOC: Malaysia giat cari pasaran baharu minyak sawit

28 Jan 2019, 7:32 AM
MPOC: Malaysia giat cari pasaran baharu minyak sawit
MPOC: Malaysia giat cari pasaran baharu minyak sawit

PUTRAJAYA, 28 JAN: Malaysia sentiasa berusaha mencari pasaran baharu mempromosikan minyak sawit selain memperkukuh pasaran sedia ada yang menumpukan pada negara ASEAN tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Datuk Dr Kalyana Sundram berkata, negara ASEAN amat bimbang dengan perkembangan minyak sawit kerana mereka adalah pengguna utama komoditi itu, khususnya untuk memasak dan dalam penghasilan produk makanan.

"Afrika ialah pasaran yang mengujakan dan minggu lepas kami berkunjung ke (pasaran sedia ada) Pakistan dan Turki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas taklimat mengenai mesyuarat Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit, hari ini.

Untuk rekod, Pakistan dan Malaysia telah menjalin hubungan perdagangan minyak sawit bagi tempoh lama iaitu lebih 40 tahun.

Setakat November 2018, eksport minyak sawit Malaysia ke Pakistan berjumlah 1.06 juta tan bernilai kira-kira US$650 juta (US$1=RM4.10).

Negara itu antara empat negara utama pembeli minyak sawit membabitkan 6.1 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia dan merupakan negara ketiga terbesar mengimport minyak sawit Malaysia.

“Kami akan membangunkan lagi pasaran ini untuk jangka panjang, semuanya sudah siap diatur, cuma akan mengambil masa,” katanya.

Kalyana berkata kedua-dua agensi kerajaan – Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan MPOC, mempunyai pejabat di luar negara untuk memantau permintaan negara asing bagi komoditi itu.

"Contohnya, kami ada pejabat terletak di Accra, ibu negara Ghana, untuk menjaga semua negara Afrika Selatan, di Brussels untuk semua negara Eropah dan di Moscow, untuk menjaga Rusia dan timur Eropah,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.