NASIONAL

Rumah berkualiti jadi keutamaan Kerajaan PAKATAN

3 Jan 2019, 5:53 AM
Rumah berkualiti jadi keutamaan Kerajaan PAKATAN
Rumah berkualiti jadi keutamaan Kerajaan PAKATAN

KUALA LUMPUR, 3 JAN: Pembinaan rumah berkualiti dengan persekitaran kondusif bagi golongan berpendapatan rendah dan termiskin akan terus menjadi keutamaan Kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN).

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah berkata, PAKATAN turut menyasarkan pencapaian pemilikan 500,000 unit kediaman bagi golongan itu, dalam tempoh lima tahun ini.

"Kajian impak sosial akan dijalankan sebelum sesuatu projek perumahan dilaksanakan bagi memastikan kualiti suasana kawasan perumahan terjamin daripada segi keselamatan dan persekitaran kondusif.

“Pendekatan sebegini memerlukan perancangan rapi bagi memastikan kebajikan rakyat didahulukan. Sistem perolehan tanah dengan harga berpatutan dan tawaran pembinaan rumah secara tender terbuka akan diamalkan bagi memastikan harga rumah terkawal,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu beliau, memetik BERNAMA, hari ini.

Raja Kamarul Bahrin berkata, zaman pemberian rumah yang dibuat secara pilih kasih akan digantikan dengan sistem pemberian saksama mengikut keperluan sebenar melalui data maklumat rakyat serta keluarga yang belum memiliki sebarang kediaman.

“Diharap, tahun 2019 memberi harapan sinaran lebih gemilang untuk kita merintis jalan ke arah negara yang lebih sejahtera di era Malaysia Baharu. Semoga ia membawa pencapaian yang kita hajatkan. Insya-Allah. Selamat menyambut Tahun Baharu 2019,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.