ad
NASIONAL

Menang RM100 seminggu sokong kempen larangan merokok

2 Jan 2019, 9:06 AM
Menang RM100 seminggu sokong kempen larangan merokok

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 2 JAN: Pemilik premis makanan berpeluang memenangi RM100 setiap minggu dengan menyertai kempen larangan merokok yang dianjurkan 'Public Health Malaysia'.

Public Health Malaysia melalui kenyataan di laman facebook berkata, pemilik premis berpeluang menyertai pertandingan terbabit jika berjaya mematuhi tiga syarat utama.

"Pemilik premis makanan perlu memaparkan tanda larangan merokok, buang kesemua bekas abu rokok dan syarat terakhir ialah pastikan tiada individu merokok dalam premis makanan anda.

"Apabila semua syarat sudah dipenuhi, anda boleh memuat naik status di laman sosial termasuk di facebook, twitter dan instagram dengan 'check in' lokasi berserta #RestartNOW," katanya.

Kempen #RestartNOW adalah kempen media sosial untuk mengaktifkan polisi larangan merokok, di seluruh Malaysia.

Bermula 1 Januari, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan arahan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan, di negara ini.

Tindakan akan diambil terhadap perokok dan juga pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.