ad
SELANGOR

Kerajaan Negeri terus perkasa IPR

1 Dis 2018, 5:01 AM
Kerajaan Negeri terus perkasa IPR

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 DIS: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak 2008 terus diperkasa dengan pelbagai program pemberdayaan, pada masa akan datang.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, Kerajaan Negeri tidak bercadang membatalkan program IPR kerana ia memberi banyak manfaat kepada rakyat di Selangor.

"Kerajaan Negeri kini sedang giat membuat penelitian terhadap semua program IPR untuk diberi nilai tambah dan penambahbaikan dengan menerapkan elemen pemberdayaan.

"Ia bertujuan supaya penerima mampu berdikari dan mengelakkan kebergantungan berterusan terhadap Kerajaan Negeri," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau berkata, rakyat tidak perlu risau kerana ia akan memberi keuntungan di mana mereka mempunyai kemahiran atau pengetahuan selain menerima insentif.

Menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berhubung isu penjenamaan IPR bagi mengelak timbulnya kekeliruan, Dr Siti Mariah berkata, ia masih dalam perbincangan bersama ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

"Ia mungkin memerlukan penjenamaan namun tidak semua program IPR di bawah bidang kuasa saya. Kita akan bincang dan usulkan pada masa akan datang," katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, walaupun Kerajaan Negeri masih meneruskan pemberian bantuan IPR kepada golongan sasaran, namun anjakan paradigma perlu dilakukan supaya rakyat tidak hanya bergantung kepada sumbangan semata-mata tetapi bangkit merubah kehidupan ke arah lebih baik.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.