SELANGOR

Belanjawan'19: RM5.15 juta galak aktiviti pelancongan

23 Nov 2018, 9:01 AM
Belanjawan'19: RM5.15 juta galak aktiviti pelancongan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan untuk memperuntukkan sebanyak RM5.15 juta untuk merangsang aktiviti pelancongan.

Dato' Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ia khusus bagi memacu potensi pelancongan di gugusan yang berteraskan pelancongan termasuk Kuala Selangor, Taman Negeri, Pesisiran Pantai Morib dan Sungai Pelek.

Katanya, peruntukan tersebut dijangka bakal menarik minat para pelabur antaranya untuk membina hotel di kawasan berkenaan.

"Sebagai tanda kesungguhan Kerajaan Negeri untuk memacu industri pelancongan Negeri, Program Latihan Hos Komuniti Selangor akan diteruskan kepada enam daerah berbanding tiga daerah sebelum ini.

"Latihan ini dijangka akan memberi peluang pekerjaan kepada hampir 300 penduduk tempatan menceburi bidang pemandu pelancong," katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri turut bercadang untuk memperuntukkan sejumlah sejumlah RM1.65 juta sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2020.

Melaluinya, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf kemudahan awam bagi keselesaan pelancong dari dalam dan luar negara.

"Oleh itu dicadangkan satu pesta atau pameran kraftangan bertaraf antarabangsa dianjurkan bagi mempromosikan hasil produk pengusaha kraftangan negeri.

"Produk pelancongan negeri dari Hulu Selangor, Kuala Selangor dan Sabak Bernam akan diberi perhatian dan keutamaan.

"Pembangunan ini merupakan suntikan utama bagi menjayakan penglibatan rakyat ke dalam ekonomi serta memangkin pertumbuhan ekonomi negeri," katanya.