ad
GLOBAL

Jutaan pekerja bakal hilang kerja jika sengketa perdagangan berterusan

20 Okt 2018, 1:45 AM
Jutaan pekerja bakal hilang kerja jika sengketa perdagangan berterusan

LONDON 20 OKT: Perang perdagangan yang semakin sengit mengundang ‘risiko sebenar’ terhadap ekonomi global, kata Ketua Pengarah Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO), Roberto Azevedo dalam ucapannya di London kelmarin.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump terlibat dalam kancah perang perdagangan dengan China. Beliau melaksanakan tarif bernilai berbilion-bilion dolar bagi menangani defisit perdagangan dengan Beijing dan membendung amalan perdagangan yang merugikan Washington.

Trump juga menyasarkan Kesatuan Eropah (EU), manakala Azevedo memberitahu pemimpin-pemimpin perniagaan dalam ucapannya di Mansion House bahawa perang perdagangan AS-China itu tidak menampakkan tanda akan reda, lantaran, beliau merayu kepada pemimpin-pemimpin dunia supaya kembali ke meja rundingan.

“Ketegangan yang kian memuncak dan berterusan ini mencetuskan risiko sebenar,” kata Azevedo dalam amarannya.

Amaran tersebut seiring dengan kenyataan pakar-pakar ekonomi bahawa kegagalan dalam kerjasama perdagangan antarabangsa akan menyaksikan lonjakan tarif yang akan meleburkan 17 peratus pertumbuhan perdagangan global dan 1.9 peratus pertumbuhan ekonomi dunia.

“Ini akan mengakibatkan pekerja, firma dan komuniti terjejas,” kata Azevedo.

“Berjuta-juta pekerja akan hilang pekerjaan dan perlu mencari pekerjaan baharu. Firma-firma pula terpaksa mencari produk dan pasaran baharu,” tambahnya.

Menjawab dakwaan bahawa amalan perdagangan berat sebelah tidak mendapat hukuman setimpal di bawah sistem sedia ada, Azevedo berkata, penyelesaian politik mengenainya perlu dicapai dan beliau mahu pemimpin-pemimpin dunia berusaha ke arah itu pada sidang kemuncak G20 di Argentina, bulan depan.

Trump sehingga kini menguatkuasakan tarif bernilai AS$250 bilion (RM1.03 trilion) terhadap barangan China yang diimport AS dan mengancam untuk bertindak lebih drastik.

SUMBER: AFP

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.