ad
AGAMA

Puasa sunat sempena wukuf di Arafah 21 Ogos - JAKIM

15 Ogos 2018, 2:08 AM
Puasa sunat sempena wukuf di Arafah 21 Ogos - JAKIM

KUALA LUMPUR 15 OGOS: Umat Islam yang ingin berpuasa sunat sempena hari wukuf di Arafah boleh melaksanakannya pada 9 Zulhijjah 1439 Hijrah bersamaan 21 Ogos ini, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim.

Beliau berkata walaupun Mahkamah Agung Arab Saudi mengumumkan 1 Zulhijjah (Ahad) bersamaan 12 Ogos dan seterusnya menetapkan wuquf di Arafah pada 20 Ogos (Isnin) serta Aidiladha pada 21 Ogos 2018, matla' (tempat terbit anak bulan) negara Malaysia adalah berbeza dengan Arab Saudi yang berkedudukan lebih barat menyebabkan peluang kenampakan hilal (anak bulan) lebih tinggi di negara berkenaan.

"Perbezaan waktu antara kedua-dua negara sekitar lima jam. Justeru, ketika hilal dicerap pada waktu matahari terbenam di Arab Saudi, kedudukan hilal tersebut adalah lebih tinggi berbanding di Malaysia dan peluang kenampakan juga lebih mudah.

"Sebagai penduduk di Malaysia, kita hanya boleh menerima pakai keputusan cerapan hilal matla' di negara kita," katanya dalam kenyataan dikeluarkan di akaun Facebooknya, semalam.

Umat Islam di Malaysia akan menyambut Hari Raya Aidiladha pada 22 Ogos (Rabu) seperti yang diumumkan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, sebelum ini.

SUMBER: BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.