NASIONAL

Bubar: "Jumaat atau bila sahaja KEADILAN cukup bersedia"

3 Apr 2018, 9:35 AM
Bubar: "Jumaat atau bila sahaja KEADILAN cukup bersedia"

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 3 APR: Jentera Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) sudah cukup bersedia untuk turun ke gelanggang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada bila-bila masa sahaja.

Naib Presiden KEADILAN, Profesor Madya Dr Shaharuddin Badaruddin, berkata KEADILAN bersama parti lain dalam Pakatan Harapan (PAKATAN) bukan sahaja bersedia dalam semua aspek, malahan sudah pun melancarkan manifesto mereka berbanding Barisan Nasional (BN).

"Bagi jentera KEADILAN, berdasarkan pemantauan di peringkat akar umbi, semua sedang menunggu bila parlimen dibubarkan," katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, siri latihan seperti latihan ejen pengundian, ejen pengiraan undi, latihan strategi penggunaan media sosial bagi memantapkan jentera parti juga telah diadakan.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dipetik oleh agensi berita Reuters sebagai menyatakan beliau menjangka Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan membubarkan parlimen pada Jumaat ini.

Pandangan sama turut dikongsi Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz.

Beliau berkata, hal ini berikutan sidang Dewan Rakyat akan ditangguhkan pada Khamis ini manakala mesyuarat Kabinet pula ditunda ke Jumaat dan BN akan melancarkan manifestonya pada hari berikutnya.

"Lagi senang untuk meneka, saya rasa kanak-kanak sekolah boleh memikirkannya," katanya.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.