SELANGOR

Azmil Mustapha meninggal dunia

14 Feb 2018, 7:06 AM
Azmil Mustapha meninggal dunia

SHAH ALAM 14 FEB: Pelakon era 1980-an, Azmil Mustapha meninggal dunia akibat sakit jantung di kediaman keluarganya di Shah Alam, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

BH ONLINE melaporkan bintang filem itu menghembuskan nafas pada usia 65 tahun. Allahyarham meninggalkan dua bekas isteri dan lima anak.

Berita pemergian Azmil dikongsi anak lelaki tunggalnya, Mohd Bazli kepada BH Online.

"Kami akur dengan ketentuan ini. Pahit untuk ditelan tapi Allah lebih menyayangi bapa kami.

"Setakat ini, saya tidak dapat pastikan dengan tepat bila arwah bapa akan dikebumikan," katanya.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah Alam (Masjid Biru) untuk urusan serta solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam dekat sini pada Rabu untuk dikebumikan.

Ketika hayatnya, Azmil pernah dua kali mendirikan rumah tangga.

Dalam perkahwinan pertama, Azmil dikurniakan anak perempuan, Shamira. Azmil juga memiliki empat anak iaitu Nurazalea Arifah, Nor Amalia Batrisya, Mohd Bazli Zhafri dan Nur Alia dalam perkahwinan keduanya.

Sejak dua tahun lalu, keadaan kesihatan Azmil yang banyak membintangi filem box office era 1980-an seperti Ali Setan, merosot dan pernah dilaporkan kritikal.

=EZY=

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.