AMPANG JAYA, 4 APR: Lebih 6,000 pengunjung pelbagai kaum memeriahkan rumah terbuka Aidilfitri dan Tahun Baharu Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah di Dewan MPAJ, malam tadi.
Wakil rakyatnya, Dato’ Ir Izham Hashim berkata sambutan serentak dua perayaan itu bukan sahaja menjimatkan kos, malah mengeratkan hubungan masyarakat pelbagai kaum.

“Gabungan sambutan dua perayaan ini juga mengambil kira pandangan dan saranan pimpinan agar kita berjimat dalam menghadapi keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini,” katanya.
Pada majlis itu, pelbagai aktiviti menarik disediakan antaranya pemberian duit raya kepada lebih 1,300 kanak-kanak dan warga emas, selain cabutan bertuah melibatkan hamper dan barangan elektrik.

Tetamu turut dihiburkan dengan persembahan buskers serta disajikan pelbagai juadah seperti mi soto, lemang, laksa, sate, minuman air balang dan cendol.
Turut hadir Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai Yew Jia Haur, ADN Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin, ADN Seri Serdang Abbas Salimi Azmi serta Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya Hasrolnizam Shaari.









