MANILA, 30 MAC: Kadar kesuburan Filipina terus menurun secara berperingkat dalam tempoh tiga dekad yang lalu, lapor Xinhua memetik laporan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Statistik Filipina (PSA) pada Isnin.
Tinjauan Demografi dan Kesihatan Kebangsaan (NDHS) Filipina 2025 mendapati bahawa jumlah kadar kesuburan (TFR) dalam kalangan wanita berumur 15 hingga 49 tahun menurun kepada 1.7 anak bagi setiap wanita, menunjukkan penurunan berterusan daripada 4.1 anak bagi setiap wanita pada 1993.
Kadar kesuburan menurun di kedua-dua kawasan luar bandar dan bandar dalam tempoh yang sama. Dari 1993 hingga 2025, TFR luar bandar jatuh daripada 4.8 kepada 2.0 anak bagi setiap wanita, manakala TFR bandar menurun daripada 3.5 kepada 1.5.
Tinjauan itu juga menunjukkan bahawa kesuburan berkait rapat dengan tahap pendidikan dan pendapatan. Wanita dengan pendidikan rendah mempunyai TFR tertinggi iaitu 3.1 anak bagi setiap wanita, dengan kadar tersebut menurun apabila tahap pencapaian pendidikan meningkat.
TFR mewakili jumlah purata anak yang akan dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang hayatnya berdasarkan kadar kesuburan mengikut umur semasa.
NDHS 2025 merupakan tinjauan ke-13 seumpamanya sejak 1968. Tinjauan itu memperoleh maklum balas temu bual daripada 29,694 wanita berumur 15 hingga 49 tahun.








