Mesir laksana penjimatan tenaga, premis ditutup awal akibat harga minyak naik

30 Mac 2026, 8:13 AM
Mesir laksana penjimatan tenaga, premis ditutup awal akibat harga minyak naik

KAHERAH, 30 MAC: Mesir telah menguatkuasakan pakej langkah penjimatan tenaga untuk tempoh satu bulan susulan kenaikan harga minyak global berikutan serangan Amerika Syarikat (AS) dan Israel ke atas Iran.

Langkah itu termasuk penutupan kedai, restoran, pusat beli-belah, pawagam, teater dan dewan perkahwinan pada 9 malam waktu tempatan, kecuali pada Khamis dan Jumaat apabila waktu penutupan dilanjutkan hingga 10 malam, menurut pejabat Perdana Menteri Mostafa Madbouly dalam satu kenyataan, lapor Anadolu Ajansi.

Langkah itu termasuk mengurangkan lampu jalan serta pengurangan pencahayaan papan iklan di jalan raya sebanyak 50 peratus, selain mengurangkan peruntukan bahan api bagi kenderaan kerajaan sebanyak 30 peratus.

Pihak berkuasa juga memutuskan untuk menutup kawasan pentadbiran kerajaan di Ibu Kota Pentadbiran Baharu pada 6 petang serta memperlahankan projek nasional utama yang menggunakan diesel dalam jumlah besar selama dua bulan, menurut kenyataan itu.

Langkah itu turut merangkumi pelaksanaan bekerja dari rumah pada Ahad bermula 1 April.

Farmasi, kedai runcit dan kemudahan pelancongan di sepanjang Sungai Nil di wilayah Kaherah dan Giza, serta destinasi pelancongan di Sinai Selatan, Luxor, Aswan, Hurghada dan Marsa Alam dikecualikan daripada langkah berkenaan.

“Langkah-langkah ini bertujuan mengurangkan kesan peningkatan kos import tenaga susulan kenaikan harga minyak global,” kata Madbouly dalam sidang media pada Sabtu.

Beliau menambah bahawa bil import tenaga Mesir meningkat daripada US$1.2 bilion pada Januari kepada US$2.5 bilion pada Mac.

Kenaikan harga bahan api yang dilaksanakan kerajaan baru-baru ini hanya meliputi kira-kira satu pertiga daripada peningkatan bil import tenaga Mesir susulan lonjakan harga minyak global, katanya.

Pada 10 Mac lepas, Kementerian Petroleum Mesir mengumumkan kenaikan harga bahan api antara 14 peratus hingga 30 peratus susulan kenaikan harga minyak global.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.