SHAH ALAM, 30 MAC: KDEB Waste Management (KDEBWM) menjalankan operasi pembersihan selepas berlaku tumpahan cecair sisa dari tapak pelupusan (leachate) di Bukit Kerayong yang dipercayai menyebabkan beberapa kemalangan motosikal.
Menurut kenyataan di Facebook, tumpahan itu berlaku di tiga lokasi sepanjang laluan menuju ke Tapak Pelupusan Jeram melalui Jalan Kampung Bukit Kerayong, susulan aduan penduduk dan Ketua Kampung.
“Kejadian ini dikaitkan dengan beberapa kemalangan membabitkan penunggang motosikal sejak beberapa hari lalu, dipercayai berpunca daripada permukaan jalan yang menjadi licin,” menurut kenyataan itu.
Bagi mengatasi masalah tersebut, KDEBWM menggerakkan sebuah jentera khas bersama sembilan petugas untuk membersihkan kawasan terjejas secara menyeluruh.
Kerja pembersihan dilakukan menggunakan sabun dan bahan pencuci khas bagi memastikan sisa cecair itu dibersihkan sepenuhnya daripada permukaan jalan.
Menurut KDEBWM, operasi berkenaan telah selesai dan keadaan di lokasi kini terkawal serta selamat digunakan oleh pengguna jalan raya.
“Kami akan terus memastikan kebersihan dan keselamatan awam sentiasa terpelihara,” katanya.








