Arab Saudi pulihkan satu juta hektar tanah tandus, tanam 157 juta pokok

29 Mac 2026, 12:42 AM
Arab Saudi pulihkan satu juta hektar tanah tandus, tanam 157 juta pokok

RIYADH, 29 MAC: Arab Saudi mengumumkan pada Jumaat kejayaan memulihkan satu juta hektar tanah tandus dan menanam lebih 159 juta pokok, sekali gus menandakan pencapaian besar bagi Inisiatif Hijau Saudi (SGI) yang dilancarkan pada 2021.

Menteri Alam Sekitar, Air dan Pertanian Abdulrahman Abdulmohsen Alfadley berkata kawasan tanah yang dipulihkan meningkat daripada hanya 18,000 hektar pada peringkat awal kepada 250,000 hektar menjelang 2024, sebelum mencecah sasaran satu juta hektar pada awal 2026, menurut Agensi Berita Arab Saudi, lapor Xinhua.

Alfadley menambah bahawa kemajuan semasa itu menjadi asas kepada sasaran 2.5 juta hektar menjelang 2030, dengan sokongan projek strategik seperti penggunaan air empangan dan penuaian air hujan.

SGI menyasarkan untuk menanam 10 bilion pokok, yang bersamaan dengan pemulihan 40 juta hektar tanah di seluruh negara berkenaan.

Setiausaha Eksekutif Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Memerangi Penggurunan (UNCCD), Yasmine Fouad memuji pencapaian itu dengan menyatakan, "Kejayaan ini membuktikan bahawa pemulihan tanah adalah tidak mustahil untuk dilaksanakan walaupun dalam persekitaran yang paling mencabar."

Fouad turut memuji peranan Arab Saudi dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui inisiatif seperti Inisiatif Hijau Timur Tengah serta penganjuran COP16 UNCCD.

--BERNAMA-XINHUA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.