SHAH ALAM, 28 MAC: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama diseru memperkukuh hubungan kejiranan menerusi penganjuran Majlis Tautan Silaturrahim sempena Hari Raya Aidilfitri pada 4 April ini.
Program anjuran komuniti setempat itu akan berlangsung di Surau Persaudaraan Islam, SS4B dari jam 10.30 pagi hingga 2 petang, menghimpunkan masyarakat dalam suasana harmoni dan penuh kemesraan.
Wakil rakyatnya Jamaliah Jamaluddin berkata majlis berkenaan menjadi platform penting untuk mengeratkan hubungan antara penduduk pelbagai latar belakang.
“Majlis ini membuka ruang kepada penduduk untuk saling berkenalan, mengeratkan hubungan serta memupuk nilai kebersamaan yang menjadi teras kepada keharmonian komuniti,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.
Jamaliah yang juga EXCO Kesihatan Awam berkata, sambutan Aidilfitri bukan sekadar perayaan, sebaliknya peluang terbaik untuk memperkukuh ikatan sosial dalam komuniti setempat.
Beliau menjelaskan, pendekatan melalui program kemasyarakatan seperti ini mampu membina semangat perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan penduduk.
Majlis itu turut menampilkan kelainan apabila pengunjung berpeluang menyertai pertandingan busana hari raya sebagai salah satu pengisian utama.
Tambah beliau, inisiatif tersebut bukan sahaja memeriahkan sambutan, malah mengangkat keunikan pakaian tradisional masyarakat Malaysia.
“Pertandingan ini diadakan bagi meraikan kepelbagaian budaya dan memperlihatkan keindahan busana tradisional dalam suasana yang santai dan inklusif,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai khususnya warga DUN Bandar Utama dijemput hadir dengan mengenakan busana Aidilfitri terbaik bagi memeriahkan lagi suasana majlis tersebut.








