Utopia Ini Cumalah Sebatang Hidung Pinocchio

28 Mac 2026, 12:30 AM
Utopia Ini Cumalah Sebatang Hidung Pinocchio

Oleh A.A. Zailiani

Ilustrasi Muizzah

i.

Bayangmu merayau-rayau dan sedang cuba mengingat siapa yang mula-mula menyalakan diri. Neon mengkelekatu langkah dengan cahaya condong, seolah-olah ia mahu mengekalkan sedikit rahsia pada setiap gerak. Kota menebalkan dustanya ke dalam angin:dingin, dan hidungnya memanjang; melilit langit dan menjerut bintang yang menjadi saksinya. Malam membunuh diri. Kau makin hidup.

ii. 

Gedung menara menyambutmu dengan keheningan yang terlalu terlatih; jendela mengintaimu seperti metafora yang belum diputuskan maknanya. Berdiri; dan kota menyalin wajahmu dengan sedikit pembetulan ironi, seakan-akan dirimu lebih wajar menjadi watak sampingan dalam hidup sendiri. Hidungnya pun menjulur lagi; menandakan pembohongan terbaharunya sedang tumbuh seperti wabak yang sedang gembira membiak. 

iii.

kepada Geppetto:

kota yang kauukir daripada sepi dan gemuruh ini sekali gus menjadi tempat kami menyesal tiba; juga ruang untuk menghumbansangkarkan impian supaya ia terus mencakarpecahkan dinding hidup. Mataneon yang berkedip mencemuh dan memujuk kami serentak; menawarkan matari palsu yang entah bagaimana sentiasa cukup untuk menunda kehancuran satu hari lagi. dan kota yang kian mengeras dustanya telah melencongkan alamat-alamat doa; kerana meski kami terlalu ingin pulang, bukankah di sinilah kami paling hilang dan oleh itu paling perlu untuk kekal?

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.