Pengusaha inap desa sesuaikan fi kelestarian, elak bebani pengunjung

27 Mac 2026, 7:19 AM
Pengusaha inap desa sesuaikan fi kelestarian, elak bebani pengunjung
Pengusaha inap desa sesuaikan fi kelestarian, elak bebani pengunjung
Pengusaha inap desa sesuaikan fi kelestarian, elak bebani pengunjung
Pengusaha inap desa sesuaikan fi kelestarian, elak bebani pengunjung

SHAH ALAM, 27 MAC: Pengusaha inap desa di sekitar Sabak Bernam mula menyesuaikan pelaksanaan fi kelestarian dengan pendekatan tersendiri bagi memastikan ia tidak membebankan pengunjung.

Langkah itu diambil susulan pengumuman Kerajaan Negeri untuk memperkenalkan fi berkenaan bermula 1 Januari 2026 bagi menjamin kelestarian warisan dan alam sekitar kawasan pelancongan.

Pengusaha Nur Faridah Homestay, Muhammad Khairilannuar Azmudin berkata pihaknya memilih untuk menyerap caj tersebut ke dalam harga tempahan bagi memudahkan urusan pelanggan.

“Untuk tahun ini kami sudah bersedia melaksanakannya dan buat masa ini caj RM2 dimasukkan sekali dalam harga tempahan. Namun, harga mungkin berubah mengikut keadaan semasa.

“Dalam masa sama, kita ambil peluang memberi penerangan kepada pengunjung supaya mereka faham tujuan pelaksanaan fi kelestarian terutamanya bagi pembangunan dan penambahbaikan infrastruktur kawasan pelancongan,” katanya kepada Media Selangor.

Muhammad Khairilannuar yang pernah menyertai sesi town hall bersama Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) tahun lalu turut memaklumkan bahawa kebanyakan pengusaha kecil masih berhati-hati untuk mengenakan caj tambahan secara berasingan kepada pelanggan.

Sementara itu, pengusaha Cma Homestay, Norhashimah Hashim, 39, berpendapat fi berkenaan lebih sesuai dikenakan kepada pengusaha berskala besar yang memiliki banyak unit inap desa.

Pengusaha Cma Homestay, Norhashimah Hashim, 39.

“Bagi pengusaha kecil seperti saya, agak sukar untuk menambah caj baharu kerana kami hanya bergantung kepada satu unit inap desa sebagai sumber pendapatan tanpa sokongan daripada unit tambahan atau aktiviti sampingan lain.

"Tambahan pula, kami hanya menyediakan penginapan asas tanpa kemudahan sewaan basikal atau motosikal, justeru fi kelestarian itu lebih wajar dikenakan kepada pengusaha yang memiliki banyak unit,” ujarnya.

Bagi pemilik Haiseh Homestay, Siti Aini Kaseh Mohd Misri, 52, beliau masih mengekalkan kadar bayaran sedia ada tanpa mengenakan fi kelestarian bagi memastikan harga yang ditawarkan kekal berpatutan dan tidak membebankan pelanggan.

“Setakat ini kami belum kenakan fi tersebut kerana tidak mahu menjejaskan minat pelanggan, tambahan pula kami sediakan pelbagai aktiviti seperti memancing, kolam renang dan badminton.

Pemilik Haiseh Homestay, Siti Aini Kaseh Mohd Misri, 52.

Namun, fi berkenaan mungkin akan dilaksanakan pada masa hadapan sekiranya terdapat keperluan atau penerimaan positif daripada pengunjung supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan minat dan kepuasan mereka,” tambahnya.

Sebelum ini, EXCO Pelancongan mengumumkan Selangor memperkenalkan fi kelestarian kepada pengunjung bermula 1 Januari 2026 bagi memastikan kelestarian warisan dan alam sekitar terus terpelihara.

Menurut Dato’ Ng Suee Lim, mekanisme kutipan akan dijalankan oleh pihak hotel dan pengusaha inap desa sebelum disalurkan kepada pihak berkuasa tempatan dengan sebahagian kecil akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.