ISTANBUL, 26 MAC: Pakistan pada Khamis mengesahkan peranan langsungnya dalam menyampaikan mesej antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran ke arah menamatkan peperangan di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Terdapat spekulasi yang tidak perlu dalam media berhubung rundingan damai untuk menamatkan konflik yang sedang berlaku di Asia Barat.
Hakikatnya, rundingan tidak langsung AS-Iran sedang berlangsung melalui mesej yang disampaikan oleh Pakistan," kata Menteri Luar Ishaq Dar menerusi hantaran di laman X.
Beliau turut mengesahkan bahawa AS telah berkongsi 15 perkara yang kini "sedang dipertimbangkan oleh Iran."
Kenyataan itu dibuat ketika sumber di Islamabad memberitahu Anadolu bahawa minggu ini adalah sangat kritikal bagi sebarang kemungkinan kejayaan dalam rundingan antara Washington dan Tehran.
Sumber itu juga menyatakan bahawa Islamabad menjangkakan ketibaan delegasi AS, namun memaklumkan bahawa Tehran masih berwaspada berikutan faktor ketidakpercayaan.
Dar turut memuji peranan "Turkiye dan Mesir, antara lain" yang "memberikan sokongan padu terhadap inisiatif ini."
"Pakistan kekal komited sepenuhnya untuk mempromosikan keamanan dan terus melakukan segala usaha bagi memastikan kestabilan di rantau ini dan seterusnya," kata Dar sambil menegaskan: "Dialog dan Diplomasi adalah satu-satunya jalan penyelesaian!"
Seluruh rantau itu berada dalam keadaan berjaga-jaga sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Februari lepas, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 orang, termasuk Pemimpin Agung ketika itu, Ayatollah Ali Khamenei.
Tehran telah bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel, selain Jordan, Iraq, dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan AS, sehingga mengakibatkan kemalangan jiwa dan kerosakan infrastruktur selain mengganggu pasaran global dan sektor penerbangan.








