AGENDA

Hospital Sungai Buloh sedia kontena khas simpan mayat pesakit Covid-19

17 Mei 2021, 12:35 AM
Hospital Sungai Buloh sedia kontena khas simpan mayat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh terpaksa menyediakan kontena khas sebagai tambahan tempat penyimpanan jenazah atau mayat mangsa Covid-19.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi hantaran di Twitter memaklumkan enam lagi kematian dilaporkan di hospital berkenaan semalam.

Menurut kenyataan itu, lebih 80 peratus kematian akibat jangkitan Covid-19 di negara ini adalah daripada golongan berusia dan menghidap lebih satu penyakit kronik atau komorbiditi.

“Kebanyakan mereka mendapat jangkitan daripada ahli keluarga terdekat. Jika anda tinggal bersama golongan berisiko tinggi, lindungi diri anda untuk anda melindungi mereka,” menurut KKM.

Sebanyak 3,780 kes Covid-19 dengan 36 kematian direkodkan semalam manakala kes sembuh pula adalah 3,990.

Selain itu, 520 pesakit dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan 272 daripada mereka memerlukan alat bantuan pernafasan dan kes aktif Covid-19 di seluruh negara kini berjumlah 42,135.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.