AGENDA

Thailand cadang benar masuk pelawat asing mulai 1 Julai

25 Jun 2020, 12:30 AM
Thailand cadang benar masuk pelawat asing mulai 1 Julai

BANGKOK, 25 JUN: Thailand bercadang untuk membuka semula sempadan negaranya kepada pelawat asing termasuk pelabur, eksekutif perniagaan dan pelancong perubatan bermula 1 Julai, selepas sebulan tanpa adanya sebarang jangkitan Covid-19 tempatan.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweeslip Wissanuyothin berkata, warga asing yang akan dibenarkan untuk memasuki negara itu dengan menjalani kuarantin 14 hari secara wajib itu, termasuklah eksekutif perniagaaan, pelabur, profesional, pekerja mahir, penduduk tetap dan warga asing yang mempunyai keluarga tinggal di Thailand, serta guru dan pelajar antarabangsa.

Bagaimanapun beliau berkata, peniaga jangka pendek dan tetamu kerajaan serta pelancong di bawah rancangan ‘travel bubbles’, adalah antara mereka yang dibenarkan untuk masuk ke negara itu tanpa perlu menjalani kuarantin 14 hari, namun pihak berkuasa sedang mencari cara lain untuk memantau mereka.

“Perdana Menteri Jen Prayuth Chan o-cha akan mempengerusikan mesyuarat CCSA pada Isnin untuk memuktamadkan keputusan itu,” katanya pada taklimat harian Covid-19 di sini semalam.

Setakat ini Thaweeslip berkata, terdapat 700 eksekutif perniagaan dan pelabur, telah mendaftar untuk memasuki negara itu; pekerja mahir (15,400); penduduk tetap dan warga asing yang keluarga di Thailand (2,000); serta guru dan pelajar asing (2,000).

Beliau berkata, kira-kira 30,000 pelancong perubatan dan kesihatan telah berdaftar untuk masuk ke negara itu di wilayah Bangkok, Phuket, Chiang Mai dan Hatyai.

Dengan situasi Covid-19 di Thailand terus lebih baik Thaweeslip berkata, semua venue perniagaan termasuk pust hiburan - pub, bar dan karaoke, akan memulakan operasi mereka bermula 1 Julai.

Di bawah fasa terakhir pelonggaran, semua sekolah, kafe internet dan kedai permainan, juga akan dibenarkan untuk dibuka dengan peraturan kesihatan yang ketat.

Thailand semalam melaporkan satu kes baru jangkitan Covid-19 dan tiada kematian untuk tempoh 24 jam, menjadikan 30 hari berturut-turut tanpa sebarang jangkitan tempatan.

Kes positif semalam melibatkan warga Thailand berusia 31 tahun yang pulang daripada Filipina pada 17 Jun.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.