EXCO

Kerajaan Negeri sedia tangani pengangguran akibat PKP

15 Mei 2020, 2:31 AM
Kerajaan Negeri sedia tangani pengangguran akibat PKP

SHAH ALAM, 15 MEI: Selangor akan bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Jabatan Tenaga Kerja bagi menangani isu anak muda yang hilang pekerjaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata kesan penularan Covid-19 terhadap sektor pekerjaan bukan berlaku di negara ini sahaja malah seluruh dunia dan Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan sewajarnya dalam meningkatkan kemahiran mereka.

"Bagi golongan pekerja, Kerajaan Negeri akan membantu mereka untuk menyesuaikan permintaan majikan dengan menyediakan program peningkatan kemahiran dan pengambilan semula kepada pekerja itu sendiri.

"Bagi rakyat Selangor yang ingin berdikari, kita akan memberi tumpuan kepada ekonomi 'gig' secara bekerjasama dengan syarikat e-panggil seperti Grab dan DIGO untuk menyediakan kursus asas supaya belia dapat masuk ke program tersebut," katanya ketika dihubungi.

Ekonomi gig ialah pasaran buruh kontrak jangka pendek atau kerja bebas yang dilakukan oleh individu dan dipacu teknologi digital.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM1 juta dibawah program Roda Darul Ehsan (Ride) bagi membantu belia mendapatkan lesen memandu ke arah ekonomi gig.

Ahli Dewan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi sebelum ini berkata golongan anak muda antara paling terjejas susulan pelaksanaan PKP sejak Mac lalu.

Najwan berkata ramai mengadu kehilangan sumber pendapatan biarpun mereka dalam kalangan individu berkemahiran atau memiliki tahap pendidikan tinggi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.