AGENDA

Kedai gunting rambut belum dibenar beroperasi

7 Mei 2020, 10:28 AM
Kedai gunting rambut belum dibenar beroperasi

SHAH ALAM, 7 MEI: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyekat operasi premis gunting rambut kerana dikhuatiri berisiko menyebarkan Covid-19, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata keputusan itu mengambil contoh berlakunya jangkitan Covid-19 terhadap tukang gunting dan pelanggan di Jepun serta Amerika Syarikat (AS).

“KKM akan memantau dengan teliti sebelum membenarkan premis ini beroperasi secara berperingkat. Pengumuman akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Pada April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan premis gunting rambut, salun kecantikan dan kedai cermin mata di seluruh negara tidak dibenarkan beroperasi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Keputusan dibuat selepas kerajaan mengambil kira pandangan dan maklum balas pakar, badan bukan kerajaan dan rakyat mengenai risiko jangkitan wabak tersebut.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyenaraikan tujuh sektor perkhidmatan yang dibenarkan beroperasi ketika PKP fasa tiga antaranya kedai gunting rambut dan kedai cermin mata.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.