AGENSI

Masih ada `sampah terbang' di Ken Rimba

3 Feb 2020, 12:26 AM
Masih ada `sampah terbang' di Ken Rimba

SHAH ALAM, 3 FEB: Penduduk Pangsapuri Ken Rimba dinasihat tidak membaling sampah dari tingkat rumah masing-masing bagi memastikan kawasan kediaman bersih dan hubungan kejiranan harmoni.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Ken Rimba Blok A, Zailani Maarub berkata pihaknya masih giat menasihati penduduk supaya tabiat membuang sampah `ikut suka hati' diubah demi imej pangsapuri ini.

"Bukan sahaja 'sampah terbang', kadangkala kita jumpa sampah di tangga, depan lif dan belakang pintu," katanya.

Justeru, katanya, bagi mengatasi masalah itu, anggota KRT sering membuat pemeriksaan mengejut di sekitar pangsapuri ini bagi mengenal pasti pelakunya.

"Sampah yang ditemui kita selongkar dan jika menemui bukti, kami terus bertemu penduduk berkenaan untuk memberi teguran.

"Usaha ini dilihat berkesan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika Program Santuni Bumi Sayang Komuniti anjuran Mahasiswa Pengurusan Projek Universit Selangor dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Sistem Maklumat dan Analitik Perniagaan serta KRT Pangsapuri Ken Rimba di sini semalam.

Mengulas program tersebut, Zailani berkata, ia boleh membangkitkan kesedaran penghuni supaya sama-sama menjaga kebersihan kawasan perumahan tanpa perlu orang luar membantu.

"Usaha pelajar ini patut dicontohi dan semua pihak perlu ada budaya menjaga kebersihan tanpa mengira usia mahupun bangsa," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.