KUALA LUMPUR, 7 MAC: AMAL, unit haji dan umrah Malaysia Airlines akan menyambung semula operasi seperti biasa ke Jeddah (JED) dan Madinah (MED) berkuat kuasa 8 Mac selepas tempoh perkhidmatan terhad akibat penutupan ruang udara serantau.
Malaysia Airlines memaklumkan perkhidmatan ke Doha (DOH) akan kekal digantung sehingga 13 Mac bagi menilai situasi keselamatan.
Penumpang bagaimanapun dinasihatkan mengemas kini butiran hubungan masing-masing melalui “My Booking” untuk menerima maklumat terkini dengan segera.
Bantuan juga disediakan melalui sokongan Live Chat di laman sesawang atau menghubungi Pusat Perhubungan Global Malaysia Airlines di 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (luar Malaysia).
Malaysia Airlines berkata pihaknya terus memantau perkembangan dengan teliti dan akan mengambil semua langkah perlu bagi memastikan operasi yang selamat dan boleh dipercayai.
Syarikat itu berkata keselamatan penumpang dan kru kekal sebagai keutamaan pihaknya.








