Sehari sebelum Amerika Syarikat, dan Israel, melancarkan serangan mengejut ke atas Iran, satu tinjauan mendapati semakin ramai bersimpati pada Palestin berbanding rejim haram.
Mengukur sokongan warga Amerika Syarikat antara 2001 hingga 2025, tinjauan Gallup pertama kali mendapati 41 peratus bersimpati pada Palestin, tetapi hanya 36 peratus condong kepada Israel.
Selalunya, Israel mendapat sokongan tinggi, antara 50 hingga 60 peratus, sementara Palestin meraih simpati cukup rendah, 10 hingga 20 peratus. Tetapi trend ini mula berubah sejak 2018.
Simpati meningkat terhadap Palestin sejak 2018, manakala sokongan kepada Israel diam-diam merosot. Walau jurang simpati hanya 5 peratus, tetapi trend perbezaan itu sangat ketara dan menarik.

Esoknya 28 Februari, dua kuasa Barat itu menyerang Iran. Tinjauan selepas perang yang dibuat bagi pihak media seperti CNN, The Washington Post, CBS dan Reuters semuanya tidak bersetuju perang.
Malah pendukung Make America Great Again (MAGA), slogan kempen Donald Trump, menuduh presiden tidak mengutamakan negara sendiri "America First", sebaliknya mengikut telunjuk agenda Israel.
Jadi, apa untungnya perang dengan Iran? Tiada untung apa-apa, kata Kishore Mahbubani dalam bukunya Dunia Kini Milik China? (2025), karya terjemahan Has China Won? (2020).
Tetapi bukan hanya perang di Iran merugikan, malah semua campur tangan di Timur Tengah tidak menguntungkan seperti kajian Instances of Use of United States Armed Forces Abroad, 1798-2018.
"Jika Amerika Syarikat benar-benar dipimpin oleh kelompok pemikir strategi terbesar dunia, kajian ini sepatutnya menunjukkan pengurangan campur tangan Amerika sesudah 1989.
"Kajian ini menyatakan bahawa dalam tempoh 190 tahun sebelum berakhirnya Perang Dingin, tentera Amerika telah diaturgerakkan sebanyak 216 kali, atau purata 1.1 kali setahun.
"Bagaimanapun, dalam 25 tahun selepas berakhirnya Perang Dingin, Amerika meningkatkan campur tangan ketenteraannya dengan mendadak dan menggunakan angkatan bersenjatanya sebanyak 152 kali atau 6.1 kali setahun," kata Mahbubani.

Hujahnya, kuasa besar itu tidak belajar daripada kejatuhan blok Soviet dalam Perang Dingin yang merugikan Rusia. Dalam tempoh tersebut, 1945 hingga 1990, Amerika Syarikat bertindak bijak.
"Adalah rasional juga bagi Amerika Syarikat untuk mengurangkan pelibatannya dalam konflik yang memakan wang, merugikan dan sia-sia," coret bekas diplomat Singapura itu dalam karyanya.
"Kesatuan Soviet terheret dalam konflik sedemikian ekoran pelibatannya di Afghanistan dan sokongannya terhadap pencerobohan Vietnam ke atas Kemboja pada tahun 1980-an.
"Amerika tidak terlibat secara langsung di lapangan dalam mana-mana konflik besar ketika itu (selepas Perang Vietnam), walaupun ia menyokong banyak operasi sulit terhadap proksi Soviet. Ini merupakan strategi yang bijak.
"Hari ini Amerika bertindak sebaliknya. Amerika yang tersandung di Afghanistan, bukannya Kesatuan Soviet. Bertrilion dolar dihabiskan Amerika dan sekarang mengharungi kegagalan penuhnya di negara itu."
Namun buku kajian geopolitik ini bukan mengenai Iran dan Timur Tengah sahaja, Dunia Kini Milik China? membedah kekuatan dan kelemahan dua kuasa besar tersebut.
Selepas Perang Dunia Kedua, Washington mengambil pendekatan rasional, anjal dan menjimatkan bagi berdepan blok komunis.
Namun, kata Mahbubani, Amerika Syarikat tiba-tiba mengulangi kesilapan blok Timur yang menghabiskan dana untuk perang dan revolusi selepas Kesatuan Soviet berantakan pada hujung 1980-an.
"Gantikan perkataan 'Amerika' dengan 'China' dan perkataan 'Kesatuan Soviet' dengan 'Amerika'. Anda akan dapat gambaran betapa berbezanya Amerika berkelakuan dibandingkan dengan strateginya dalam Perang Dingin dahulu," tulis pengarang itu.
Mengenai kerugian Amerika Syarikat di Timur Tengah, Mahbubani menyebut: " ... Amerika menghabiskan hampir satu trilion dolar dan tidak meraih apa-apa kecuali melemahkan rakan-rakannya di Teluk dengan meningkatkan pengaruh Iran di rantau itu.
"Paling penting, ekonomi China berkembang dengan sangat pesat dalam dalam 10 tahun selepas pencerobohan Iraq [pada awal 2000-an]. Perang Iraq jelas merupakan hadiah strategik yang besar kepada China."
Namun, China yang berada di blok Timur sudah belajar daripada kesilapan Soviet. Negara itu mengawal perbelanjaan untuk pertahanan tetapi memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi.
Dasar inilah yang membina kekuatan China hingga mampu meninggalkan dua lagi kuasa besar ekonomi, Jepun dan Jerman.
Daripada sembilan bab Dunia Kini Milik China?, termasuk pengenalan dan kesimpulan, empat bab awal daripada 2 hingga 5 sudah cukup membuka mata kita bagi memahami ketegangan China-Amerika Syarikat tahun lepas.
Sedar ia tidak ada pilihan banyak, akhirnya Trump terpaksa mengalah dalam rundingan dua kuasa besar itu pada November. Tarif melampau terhadap China tidak diteruskan.
Bab 2 dan 3 masing-masing mengupas kesilapan terbesar strategi Amerika Syarikat dan China. Sementara dua bab berikutnya apakah dua negara ini akan lebih agresif atau mampu menahan diri daripada berperang?
Pendek kata, buku ini membongkar kekuatan dan kelemahan dua kuasa terbesar ini dengan begitu jelas sehingga pembaca rasa seperti seorang pakar geopolitik sebaik sahaja tamat membacanya.
Buku ini bukan hanya mendedahkan konflik semasa kuasa ini tetapi turut mengajar bagaimana menyusun negara kita untuk bangkit agar terus maju atau, jika tersilap langkah, merosot.
Saya cadangkan buku ini dibaca bersama Strategi Rahsia China: Gerak 100 Tahun Atasi Amerika Syarikat (Michael Pillsbury) dan satu lagi, Tata Dunia: Punca Perang & Damai Sepanjang Sejarah (Henry Kissinger).
Tiga karya terjemahan ini, terbitan Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) dengan kerjasama Media Selangor, mengupas hubungan dengan semua negara penting termasuk ASEAN, Timur Tengah, Eropah dan Afrika.









