Al-Quran: Dari wahyu ke peradaban

6 Mac 2026, 4:00 AM
Al-Quran: Dari wahyu ke peradaban
Al-Quran: Dari wahyu ke peradaban

Setiap kali tibanya 17 Ramadan, umat Islam di Malaysia khususnya akan memperingati peristiwa Nuzul al-Quran. 

Ia bukan sekadar cuti umum atau tarikh sejarah yang kaku, tetapi merupakan titik tolak perubahan besar dalam sejarah kehidupan manusia. 

Peristiwa ini menandakan bermulanya komunikasi rasmi antara langit dan bumi melalui perantaraan wahyu bagi membawa manusia keluar daripada kegelapan jahiliah menuju cahaya kebenaran.

Al-Quran menceritakan tentang keberadaannya sendiri dengan penuh kemuliaan. Di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 185, Allah SWT berfirman: 

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan perbezaan (antara yang benar dengan yang salah).”

Secara teknikal, para ulama menghuraikan penurunan al-Quran bukanlah satu proses tunggal, melainkan berlaku dalam dua fasa utama yang mempunyai hikmah tersendiri:

Fasa Pertama: iaitu fasa Inzal – penurunan secara sekali gus dari Lauh Mahfuz ke Baitul Izzah (langit dunia). 

Peristiwa agung ini berlaku pada malam Lailatul Qadar, sebagaimana ditegaskan dalam Surah Al-Qadr. Fasa ini merupakan satu bentuk ‘pengisytiharan langit’ kepada seluruh penghuni alam semesta tentang kemuliaan wahyu yang terakhir ini.

Fasa Kedua: iaitu fasa Tanzil – penurunan secara berperingkat (tanjim) daripada langit dunia kepada Nabi Muhammad SAW melalui perantaraan Malaikat Jibril AS.

Proses ini memakan masa selama kira-kira 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah).

Penurunan secara beransur-ansur ini bertujuan untuk menetapkan hati Rasulullah SAW di saat menghadapi tentangan hebat serta memudahkan para sahabat untuk menghafal, memahami dan mengamalkan hukum-hakam secara praktikal tanpa merasa terbeban.

Al-Quran bukan sebuah mahakarya sastera yang indah bahasanya, tetapi ia adalah al-Furqan iaitu neraca pembeza yang hakiki.

Mushaf al-Quran berserta sampul kulit binatang tulisan tangan ulama terkenal Acheh Sheikh Nuruddin Al-Raniri yang mula disalin pada 1636 sebelum siap lima tahun kemudian

Ia datang sebagai pemutus kata untuk membetulkan akidah yang diselewengkan oleh zaman. Al-Quran meruntuhkan kepercayaan karut dan mensyirikkan tuhan, lalu menggantikannya dengan konsep tauhid yang murni.

Dari sudut perundangan, al-Quran menetapkan hukum-hakam yang adil dan melangkaui zaman. Ia bukan sekadar teks teologi, tetapi manual kehidupan yang mengatur urusan ekonomi (penghitaman riba), sosial (keadilan buat wanita dan anak yatim) serta politik (prinsip syura).

Lebih daripada itu, al-Quran berfungsi sebagai penyembuh jiwa. Bagi setiap hamba yang membacanya dengan tadabbur, getaran ayat-ayatnya mampu memberikan ketenangan (sakinah) yang luar biasa, mengubah kegelisahan hati menjadi keteguhan iman dan menjadi cahaya di saat manusia buntu mencari jalan pulang.

Wahyu

Hadis-hadis sahih menggambarkan betapa beratnya tanggungjawab menerima wahyu. Dalam sebuah riwayat oleh Imam Bukhari daripada Saidatina Aisyah, diceritakan bahawa wahyu pertama bermula dengan mimpi yang benar (Ar-Ru’ya as-Sadiqah).

Kemudian, kemuncaknya berlaku di Gua Hira’. Malaikat Jibril memeluk Nabi Muhammad SAW dengan erat sebanyak tiga kali sambil memerintahkan, “Iqra’!” (Bacalah!). Nabi menjawab, “Ma ana bi qari’” (Aku tidak tahu membaca).

Pengajaran daripada hadis ini menunjukkan perintah pertama bukan ‘Sembahlah’ atau ‘Zakatlah’, tetapi ‘Bacalah’. 

Mushaf al-Quran berserta sampul kulit binatang tulisan tangan ulama terkenal Acheh Sheikh Nuruddin Al-Raniri yang mula disalin pada 1636 sebelum siap lima tahun kemudian

Disamping itu pula, wahyu diturunkan dalam keadaan yang sangat fizikal dan mencabar, membuktikan ia bukan rekaan minda Nabi, tetapi mandat berat daripada Pencipta.

Dari sudut sirah, penurunan al-Quran secara berperingkat (tanjim) mempunyai hikmah yang sangat besar dalam membina masyarakat. 

Jika al-Quran diturunkan sekali gus dengan segala larangan (seperti larangan arak dan zina), nescaya masyarakat Arab ketika itu akan menolak mentah-mentah.

Sirah membuktikan al-Quran bertindak sebagai manual perubahan sosial: Ekoran itu, terdapat dua fasa yang terkenal, iaitu fasa di mana fokus kepada pembinaan jati diri, tauhid, dan kekuatan mental para sahabat menghadapi penindasan yang dikenali sebagai Fasa Makkiyah.

Fasa kedua pula lebih fokus kepada pembinaan sistem negara, ekonomi, kekeluargaan, dan hubungan diplomatik.

Nuzul al-Quran mengubah seorang penggembala kambing menjadi pemimpin dunia dan mengubah bangsa yang berpecah-belah menjadi satu umat yang bersatu di bawah panji keadilan.

Sebagai penutup, Nuzul al-Quran bukan sekadar peristiwa nostalgia sejarah 1,400 tahun yang lalu. Ia adalah sebuah revolusi kesedaran yang berterusan. Memperingatinya tanpa usaha untuk memahami isinya adalah satu kerugian besar.

Masyarakat kita perlu beralih daripada sekadar ‘memuliakan naskhah’ kepada ‘menghidupkan risalah’. Apabila nilai al-Quran diterjemahkan ke dalam akhlak di pasar, pejabat dan dalam rumah tangga, maka barulah keberkatan wahyu itu akan benar-benar menyinari kehidupan kita.

Pengajaran sosial dalam masyarakat kontemporari

Mengaitkan Nuzul al-Quran dengan realiti masyarakat hari ini memerlukan kita melihat melampaui teks. Al-Quran diturunkan untuk manusia, maka impaknya mestilah dirasai dalam interaksi manusiawi.

Budaya ilmu dan literasi

Wahyu pertama menekankan konsep pembacaan. Dalam konteks sosial hari ini, masyarakat yang menghayati Nuzul al-Quran seharusnya menjadi masyarakat yang antikejahilan. 

Kita perlu bijak menapis maklumat, tidak menyebarkan berita palsu (tabayyun) dan sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan untuk kemajuan ummah.

Keadilan sosial dan hak asasi

Al-Quran datang untuk menghapuskan sistem kasta dan penindasan. Pengajaran sosial yang paling besar adalah bagaimana al-Quran membela golongan mustad'afin (golongan tertindas). 

Masyarakat yang mendampingi al-Quran tidak akan membiarkan jirannya kelaparan atau membiarkan rasuah bermaharajalela, kerana al-Quran sangat tegas dalam isu integriti dan amanah.

Kedamaian dan toleransi

Meskipun al-Quran itu teguh dalam soal akidah, ia mengajar prinsip 'lakum dinukum waliyadin' (bagi kamu agama kamu, bagi aku agamaku). 

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia, roh Nuzul al-Quran seharusnya melahirkan individu yang menghormati kepelbagaian dan mengutamakan keharmonian tanpa menggadaikan prinsip agama.

Penawar jiwa di era digital

Di tengah-tengah tekanan kesihatan mental dan ketidakpastian ekonomi, al-Quran menawarkan aspek psikologi yang kuat. Dalam ayat ke-28, Surah al-Ra’d (13) bahawa Allah berfirman: 

"Ketahuilah dengan mengingati Allah itu, hati akan menjadi tenang.".

Pengajaran sosialnya ialah komuniti perlu kembali menjadikan nilai-nilai spiritual sebagai benteng dalam menghadapi krisis kehidupan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.