TEHRAN, 5 MAC: Menteri Luar Iran mengancam Amerika Syarikat (AS) susulan tindakan mengaramkan kapal perang Iran di Lautan Hindi, menyifatkan serangan itu sebagai satu "kekejaman", lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
"AS telah melakukan satu kekejaman di laut, 2,000 batu jauhnya dari pesisir pantai Iran," tulis Menteri Luar Abbas Araghchi di platform media sosial X pada Khamis.
"Ingat kata-kata saya: AS akan menyesal di atas tindakan yang mereka mulakan ini."
Araghchi berkata kapal frigat IRIS Dena, yang membawa 130 anak kapal, sedang belayar di perairan antarabangsa sebagai tetamu tentera laut India apabila ia diserang tanpa sebarang amaran.
Jabatan Pertahanan AS mengesahkan kapal berkenaan ditenggelamkan pada Rabu oleh torpedo yang dilepaskan dari sebuah kapal selam AS, menyifatkannya sebagai serangan pertama seumpamanya sejak Perang Dunia Kedua.
Sri Lanka, yang menjalankan operasi menyelamat, mengesahkan selepas serangan itu bahawa sekurang-kurangnya 80 anak kapal terkorban, manakala puluhan lagi masih hilang.
Kerajaan Sri Lanka sebelum ini menyatakan sekurang-kurangnya 180 orang berada di atas kapal IRIS Dena semasa kejadian berlaku.
-- BERNAMA-dpa








