SHAH ALAM, 4 MAC: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan transaksi rasuah berjumlah RM12 juta membabitkan sindiket orang tengah atau tonto dengan penguat kuasa yang bersekongkol, menggunakan ‘akaun keldai’ sepanjang tempoh lima tahun lalu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata transaksi yang bermula pada tahun 2021 itu bertujuan memastikan kenderaan perdagangan tidak dikenakan tindakan undang-undang oleh penguat kuasa yang bertugas, lapor Berita Harian.
Azam berkata, dalam Ops Middleman yang berlangsung sejak 24 Februari lalu, pihaknya turut menyita 59 akaun individu dipercayai 'keldai akaun', bernilai RM7.7 juta.
"Dalam siasatan ini, SPRM juga menahan empat pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan empat anggota polis trafik serta dua pemilik syarikat dipercayai tonto dan seorang keldai akaun.
"Keseluruhan kes yang ditahan dalam kes ini adalah seramai 18 orang dan kita buka setiap satu kertas siasatan berkaitan suspek.
"Selain wang tunai pelbagai negara termasuk RM326,625, SPRM juga menyita 25 pelbagai jenis kenderaan mewah bernilai RM2.5 juta dan barang kemas berjumlah RM40,000," katanya.
Azam juga mengesahkan, selain JPJ, SPRM akan bekerjasama dengan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) untuk bersama-sama dalam Ops Middleman.
"Saya sudah berhubung dengan Pengarah JSJ, Datuk M Kumar untuk bertemu dalam masa terdekat," katanya.







