Selangor rekod pendaftaran tahun satu tertinggi, lebih 15,000 murid bagi sesi 2027

3 Mac 2026, 3:07 PM
Selangor rekod pendaftaran tahun satu tertinggi, lebih 15,000 murid bagi sesi 2027

GOMBAK, 3 MAC: Selangor terus mendahului negeri lain apabila merekodkan jumlah pendaftaran tertinggi murid enam tahun bagi kemasukan tahun satu sesi persekolahan 2027.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata daripada kira-kira 52,000 pendaftaran di seluruh negara setakat ini, lebih 15,000 direkodkan di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plat Pusat Lestari SMK Sungai Pusu di Majlis Program Jauhlah Ramadan di SMK Sungai Pusu Gombak pada 3 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Selain faktor kepadatan penduduk, peningkatan mutu sekolah dan penawaran pendidikan berkualiti di negeri ini turut menjadi tarikan utama ibu bapa mendaftarkan anak bagi kohort enam tahun.

“Komitmen ibu bapa di Selangor amat mengujakan dalam memastikan anak-anak mendapat pendidikan terbaik, selaras aspirasi Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035,” katanya pada sidang media sempena Program Jaulah Ramadan di sini hari ini.

Menurut beliau, komitmen Kerajaan Selangor yang meletakkan pendidikan sebagai teras pembangunan negeri turut menyumbang kepada pencapaian tersebut.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berucap di Majlis Program Jauhlah Ramadan di SMK Sungai Pusu Gombak pada 3 Mac 2026. Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

“Dato’ Menteri Besar sendiri memegang portfolio pendidikan, sekali gus memperkukuh usaha memperkasa sektor ini,” katanya.

Pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan semula sistem penilaian murid sekolah rendah di peringkat Darjah Empat sebagai sebahagian langkah memperkukuh kualiti pendidikan negara menerusi RPM 2026–2035.

Beliau turut mengumumkan perubahan struktur kemasukan pendidikan awal kanak-kanak, dengan prasekolah bermula pada usia lima tahun manakala kemasukan Darjah Satu ditetapkan pada usia enam tahun mulai 2027.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.