SHAH ALAM, 3 MAC: Isu cadangan pembinaan jalan baharu ke Kuil Sri Maha Mariamman Taman Koperasi Cuepacs, Kajang, disifatkan selesai apabila pihak pengurusan rumah ibadat itu menerima semula cadangan Kerajaan Negeri.
EXCO Hal Ehwal Orang Asal dan Minoriti, V. Papparaidu berkata persetujuan dicapai selepas pertemuan lebih setengah jam diadakan bagi memberi penjelasan terperinci berhubung pelaksanaan projek tersebut.
“Pertemuan diadakan di pejabat saya jam 2 petang tadi. Pihak pengurusan kuil diwakili oleh timbalan setiausaha dan bendahari. Saya telah terangkan cadangan sebenar jalan itu dan bagaimana ia dapat membantu semua pihak.
“Saya beranggapan, mungkin sebelum ini tiada pihak yang menerangkan kepada pihak kuil secara menyeluruh, jadi mereka kurang faham. Selepas penjelasan, mereka akhirnya bersetuju dan ia selesai,” katanya kepada Media Selangor.
Papparaidu menambah, pembinaan jalan baharu sepanjang kira-kira 383 meter itu dijangka akan dimulakan dalam tempoh terdekat, dengan mandat telah diberikan kepada Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).
Terdahulu, media tempatan melaporkan pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman Taman Koperasi Cuepacs menolak cadangan pembinaan jalan baharu yang menghubungkan rumah ibadat itu dengan jalan utama.
Timbalan pengerusi persatuan pengurusan kuil, Tanabalan Arumugam dilapor berkata, mereka menolak jalan alternatif tersebut berikutan laluannya yang lebih jauh berbanding jalan sebelum ini.
Awal Februari lalu, Kerajaan Negeri mencapai keputusan muktamad berhubung isu laluan masuk ke Kuil Sri Maha Mariamman Taman Cuepecs dengan cadangan pembinaan jalan baharu dari Jalan Sungai Long selebar tujuh meter.
Menurut Papparaidu, pembinaan jalan tersebut dianggarkan menelan kos sekitar RM3.3 juta dan dilihat sebagai penyelesaian paling sesuai bagi menamatkan konflik berpanjangan selain menyokong pembangunan terancang di kawasan berkenaan.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting itu menjelaskan, keputusan berkenaan juga merupakan langkah penting bagi menjamin keharmonian semua pihak termasuk penduduk Taman Desa Baru, Taman Koperasi Cuepacs serta Kuil Sri Maha Mariamman.











