SHAH ALAM, 3 MAC: Seramai 200 anak asnaf DUN Pandan Indah menerima baucar pembelian pakaian sempena Program Jom Shopping Baju Raya @ Jakel yang berlangsung di Jakel Mall, baru-baru ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Pandan Indah, Dato’ Ir Izham Hashim berkata program itu memberi peluang kepada anak-anak berkenaan memilih sendiri pakaian baharu bagi menyambut Aidilfitri.
“Saya berbesar hati apabila pagi ini dapat menyantuni 200 anak asnaf DUN Pandan Indah sempena Program Jom Shopping Baju Raya @ Jakel.
“Anak-anak ini menerima baucar bernilai RM200 sumbangan Koridor Utiliti Selangor (KUSEL) dan tambahan RM60 daripada pihak Jakel,” katanya.
Menurut beliau, kegembiraan jelas terpancar di wajah penerima apabila berpeluang mendapatkan baju raya baharu untuk digayakan pada pagi Syawal nanti.
“Senyuman mereka menggambarkan betapa bermaknanya peluang ini dalam menyambut Aidilfitri. Terima kasih kepada KUSEL dan Jakel atas sumbangan ini.
“Semoga usaha ini membawa rahmat dan keberkatan kepada semua,” katanya lagi.
Program berkenaan merupakan antara inisiatif kebajikan bagi membantu golongan asnaf membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih sempurna.









