Aktiviti pemujaan dikesan di Hutan Simpan Ulu Gombak, pokok balak matang dicalit cat

4 Mac 2026, 1:01 AM
Aktiviti pemujaan dikesan di Hutan Simpan Ulu Gombak, pokok balak matang dicalit cat
Aktiviti pemujaan dikesan di Hutan Simpan Ulu Gombak, pokok balak matang dicalit cat

SHAH ALAM, 4 MAC: Aktiviti mencurigakan dipercayai melibatkan pemujaan dikesan dalam Hutan Simpan Ulu Gombak apabila dua pokok balak matang ditemui dicalit cat merah, hitam dan putih, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap keselamatan serta kelestarian kawasan itu.

Penemuan tersebut dibuat Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) menerusi pemantauan berkala di lokasi berhampiran sungai, kira-kira 200 meter dari Jalan Gombak Lama menghala ke Genting Highlands.

Pemeriksaan lanjut turut menemukan kesan pemotongan anak pokok, pembakaran serta pencemaran termasuk timbunan sampah dan botol minuman yang ditinggalkan di kawasan berkenaan.

Penolong Pengarah Kanan JPNS, Mohd Shafie Mahamud berkata tindakan itu jelas menyalahi undang-undang dan boleh menjejaskan ekosistem hutan serta pertumbuhan semula jadi.

“Kita mendapati dua pokok balak berusia matang telah ditanda dan dicalit warna tertentu dipercayai bagi tujuan aktiviti pemujaan. Turut dikesan pemotongan anak pokok dan kesan pembakaran di lokasi,” katanya.

Menurut beliau, perbuatan membuka kawasan dengan menebang anak pokok bagi tujuan tertentu merupakan satu bentuk pencerobohan serius yang boleh dikenakan tindakan tegas di bawah Enakmen Perhutanan Negeri.

JPNS akan mempertingkat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras sebarang aktiviti tidak sah di kawasan hutan simpan berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan bagi memastikan khazanah hutan negeri terus terpelihara daripada diceroboh pihak tidak bertanggungjawab.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.