CYBERJAYA, 3 MAC: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terus memperkukuh kebajikan warga kerjanya menerusi pembukaan taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan taman didikan kanak-kanak (Tadika) KinderHub@MCMC.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata pusat yang mula beroperasi pertengahan Januari lalu itu mencerminkan komitmen SKMM dalam menjadikan keluarga sebagai sokongan asas bagi melahirkan tenaga kerja yang produktif, seimbang dan berdaya tahan.
“Ini bukan sekadar fasiliti tetapi usaha SKMM untuk pastikan kesejahteraan warga kerja dengan mengutamakan keluarga sebagai tunjang utama.
“KinderHub ini menyediakan pendidikan awal berkualiti sekali gus membantu warga kerja mengimbangi tuntutan kerjaya dan keluarga,” katanya ketika merasmikan KinderHub@MCMC di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengerusi SKMM Tan Sri Salim Fateh Din.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pusat berkenaan beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 7 pagi hingga 7 malam dan kini menempatkan 76 kanak-kanak berusia tiga bulan hingga enam tahun.
Menurutnya, KinderHub yang dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk bilik bacaan dan taman permainan itu mampu menampung sehingga 150 kanak-kanak pada satu-satu masa.
“Kemudahan ini diharap dapat memberi ketenangan kepada ibu bapa dalam mengimbangi tanggungjawab kerjaya dan keluarga, sekali gus menyokong kesejahteraan emosi, fokus dan produktiviti,” katanya.
Beliau berharap inisiatif yang dilaksanakan SKMM itu dapat menjadi contoh kepada badan berkanun lain yang berkemampuan, memandangkan manfaatnya yang besar kepada pekerja.







